Monday, September 7, 2026

3 Jenis Percakapan Yang Dibenarkan Semasa Khutbah Jumaat

 3 Jenis Percakapan Yang Dibenarkan Semasa Khutbah Jumaat

Hari Jumaat tiba lagi. Kita masih berada dalam suasana Covid-19 di mana masjid-masjid masih lagi dibuka kepada bilangan yang terhad serta perlu mengikut penjarakan sosial. Jemaah yang ingin Solat Jumaat di masjid pula perlu mendaftarkan diri untuk mendirikan Solat Jumaat.

Bagi mereka yang sudah diberi ruang dan peluang yang tidak semua dapat rasakan ini, manfaatkanlah waktu di masjid dengan sebaiknya. Bagi mereka yang tidak berpeluang lagi, maka teruskanlah mencuba.

Apabila berbicara tentang Solat Jumaat, kita sentiasa diingatkan supaya menjaga adab dan tidak bercakap ketika khutbah. Bahkan untuk menegur orang lain dan menyuruhnya diam sekalipun, perbuatan ini dianggap sia-sia malah fadilat Jumaat tidak diperoleh.

Seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الجُمُعَةِ أَنْصِتْ، وَالإِمَامُ يَخْطُبُ، فَقَدْ لَغَوْتَ

Maksudnya: Apabila kamu mengucapkan; ‘’Diamlah kamu’’ kepada sahabat kamu pada hari Jumaat dalam keadaan Imam sedang berkhutbah, maka kamu telah lagha. (Riwayat Al-Bukhari, no.934)

Namun, ada tiga jenis percakapan yang masih dibenarkan ketika khutbah.

Pertama, ialah mengucapkan selawat ke atas Nabi SAW apabila mendengar nama baginda disebutkan. Bahkan orang yang tidak berselawat saat mendengar nama baginda dikira sebagai kedekut.

Kedua, mengucapkan amin apabila mendengar khatib membacakan doa. Ia dibenarkan dan tidak termasuk hal yang lagha.

Ketiga, mengucapkan Alhamdulillah (segala puji bagi Allah) selepas bersin atau mengucapkan Yarhamukallah (semoga Allah memberikan rahmat kepadamu) kepada orang lain yang bersin.

Daripada hal ini, kita mengetahui bahawa tidak semua percakapan itu ditegah semasa khutbah disampaikan. Kita masih boleh mengucapkan selawat apabila mendengar nama baginda disebut, mengucapkan amin ketika khatib berdoa dan mengucapkan Alhamdulillah ketika bersin.

Walau bagaimanapun, jika tidak ada keperluan seperti yang disebutkan itu, maka diam adalah lebih baik berbanding menyibukkan diri dengan zikir, membaca Al-Quran atau berdoa dengan kuat semasa khutbah disampaikan. Wallahua’lam.

Rujukan:

Mufti Wilayah Persekutuan


Makmum Bercakap dengan Imam Ketika Khutbah ...

 


Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah diizinkan bagi makmum untuk bercakap dengan khatib atau khatib bertanya kepada makmum semasa khutbah Jumaat? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, terdapat larangan daripada Nabi SAW daripada melakukan perkara yang sia-sia ketika khutbah sedang disampaikan. Tujuannya adalah supaya, makmum memberikan sepenuh perhatian terhadap isi khutbah yang disampaikan. Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ أَنْصِتْ‏ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَالإِمَامُ يَخْطُبُ فَقَدْ لَغَيْتَ

Maksudnya: “Apabila kamu berkata kepada sahabatmu supaya diam pada hari Jumaat, sedangkan ketika itu imam sedang berkhutbah, maka pahala Jumaatmu menjadi sia-sia.”

Riwayat Muslim (851)

Larangan bercakap ketika khatib menyampaikan khutbah hukumnya adalah makruh berdasarkan hadith di atas. (Lihat Nihayah al-Zain, hlm. 143). Selain itu, dinukilkan daripada al-Nadhr bin Syumail bahawa makna “laghaut” dalam hadith di atas adalah luputnya pahala. Ada juga yang berpendapat, terbatal fadhilat Jumaatnya. (Lihat Fath al-Bari oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani, 2/414).

Begitu juga Ibn Rejab al-Hanbali turut menyatakan, Nabi SAW telah memberitahu kepada kita bahawa memerintahkan kepada seseorang agar diam ketika khutbah adalah perkara yang lagha (sia-sia) walaupun hal itu termasuk di dalam menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran. Untuk itu, hadith ini menunjukkan bahawa setiap perkataan yang menyibukkan seseorang itu daripada mendengar atau diam ketika khutbah termasuk dalam hukum yang sia-sia. Adapun diminta orang yang bercakap ketika khutbah untuk diam adalah dengan mengisyratkan sahaja. Para ulama tidak berselisih pendapat dalam hukum dibolehkan memberi isyarat kerana di dalam solat dibolehkan maka ketika khutbah juga dibolehkan dan ia adalah lebih utama untuk dibolehkan (kerana solat merupakan perkara yang lebih besar berbanding khutbah).

Para ulama juga telah berijma‘ bahawa afdhal (sebaik-baiknya) bagi sesiapa yang mendengar khutbah imam untuk diam dan dengar. Perbuatan itu lebih afdhal daripada dia menyibukkan diri dengan berzikir secara sendiri, membaca al-Quran atau berdoa. (Lihat: Fath al-Bari, 8/274).

Dalam menjawab soalan di atas, di sana terdapat beberapa riwayat yang menunjukkan bahawa Nabi SAW pernah bercakap dengan hadirin ataupun Baginda pernah menegur hadirin ketika sedang berkhutbah. Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Anas bin Malik bahawa:

أَنَّ رَجُلًا دَخَلَ المَسْجِدَ يَوْمَ جُمُعَةٍ مِنْ بَابٍ كَانَ نَحْوَ دَارِ القَضَاءِ، وَرَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَائِمٌ يَخْطُبُ، فَاسْتَقْبَلَ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَائِمًا، ثُمَّ قَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ، هَلَكَتِ الأَمْوَالُ وَانْقَطَعَتِ السُّبُلُ، فَادْعُ اللهَ  يُغِيثُنَا. فَرَفَعَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدَيْهِ، ثُمَّ قَالَ: اللَّهُمَّ أَغِثْنَا، اللَّهُمَّ أَغِثْنَا، اللَّهُمَّ أَغِثْنَا. قَالَ أَنَسٌ: وَلاَ وَاللهِ، مَا نَرَى فِي السَّمَاءِ مِنْ سَحَابٍ، وَلاَ قَزَعَةٍ وَمَا بَيْنَنَا وَبَيْنَ سَلْعٍ مِنْ بَيْتٍ وَلاَ دَارٍ. قَالَ: فَطَلَعَتْ مِنْ وَرَائِهِ سَحَابَةٌ مِثْلُ التُّرْسِ، فَلَمَّا تَوَسَّطَتْ انْتَشَرَتْ، ثُمَّ أَمْطَرَتْ، فَلاَ وَاللهِ، مَا رَأَيْنَا الشَّمْسَ سَبْتًا.  ثُمَّ دَخَلَ رَجُلٌ مِنْ ذَلِكَ البَابِ فِي الجُمُعَةِ، وَرَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَائِمٌ يَخْطُبُ، فَاسْتَقْبَلَهُ قَائِمًا، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ، هَلَكَتِ الأَمْوَالُ، وَانْقَطَعَتِ السُّبُلُ، فَادْعُ اللهَ يُمْسِكْهَا عَنَّا. قَالَ: فَرَفَعَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدَيْهِ، ثُمَّ قَالَ: اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلاَ عَلَيْنَا، اللَّهُمَّ عَلَى الآكَامِ وَالظِّرَابِ، وَبُطُونِ الأَوْدِيَةِ، وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ قَالَ: فَأَقْلَعَتْ وَخَرَجْنَا نَمْشِي فِي الشَّمْسِ

Maksudnya: “Seorang lelaki masuk ke dalam masjid pada hari Jumaat melalui pintu yang berhadapan dengan Dar al-Qadha’ dan Rasulullah SAW sedang berdiri menyampaikan khutbah. Lalu lelaki itu menghadap ke arah Rasulullah SAW sambil berdiri, kemudian berkata: ‘Wahai Rasulullah, telah binasa harta benda dan perjalanan juga terputus (tidak diteruskan). Oleh itu, berdoalah kepada Allah agar Dia menolong kami.’ Lalu Rasulullah mengangkat kedua tangan Baginda, kemudian berdoa: “اللَّهُمَّ أَغِثْنَا، اللَّهُمَّ أَغِثْنَا، اللَّهُمَّ أَغِثْنَا” (Ya Allah, bantulah kami! Ya Allah, bantulah kami! Ya Allah, bantulah kami!).’” Anas berkata: “Dan tidak, Demi Allah, kami tidak melihat awan atau gumpalan awan serta apa pun di langit, sedangkan tidak ada satu pun bangunan, mahupun rumah antara kami dan bukit Sal‘ (yang dapat menghalangi penglihatan).” Beliau berkata lagi: “Tiba-tiba muncul dari arah belakangnya awan mendung seperti perisai. Ketika awan tersebut berada di tengah langit, maka ia melebar. Kemudian turunlah hujan. Dan tidak, demi Allah, kami tidak melihat matahari selama seminggu. Kemudian ada seorang lelaki masuk (ke dalam masjid) melalui pintu yang sama pada Jumaat berikutnya, sedangkan Rasulullah SAW sedang berdiri menyampaikan khutbah. Lalu dia menghadap ke arah Baginda sambil berdiri dan berkata: ‘Wahai Rasulullah, telah binasa harta benda dan perjalanan juga terputus (tidak dapat diteruskan). Oleh itu, berdoalah kepada Allah agar Dia menahannya (hujan yang turun berlebihan itu) daripada kami.’ Beliau (Anas) berkata: “Lalu Rasulullah mengangkat kedua tangan Baginda, kemudian berdoa: “اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلاَ عَلَيْنَا، اللَّهُمَّ عَلَى الآكَامِ وَالظِّرَابِ، وَبُطُونِ الأَوْدِيَةِ، وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ” (Ya Allah, turunkanlah hujan di sekitar kami dan tidak di atas kami. Ya Allah turunkan hujan di atas bukit-bukit yang tinggi, bukit-bukit yang mendatar, dasar-dasar lembah, dan tempat tumbuhnya pepohon).”  Beliau berkata: “Setelah itu, hujan pun berhenti dan kami keluar (dari masjid) berjalan di bawah sinar matahari.”

Riwayat al-Bukhari (1014) dan Muslim (897)

Syeikh Abdullah al-Bassam ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan, padanya terdapat dalil yang menunjukkan keharusan untuk bercakap-cakap dengan khatib pada hari Jumaat, dan ia termasuk dalam permasalahan yang dikecualikan daripada larangan berkata-kata ketika khutbah sedang disampaikan. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/86).

Selain itu, terdapat juga riwayat yang menceritakan bahawa Nabi SAW memerintahkan seseorang supaya mendirikan solat ketika masuk ke dalam masjid walaupun ketika itu Baginda sedang berkhutbah. Ini sebagaimana riwayat daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma, katanya:

جَاءَ رَجُلٌ وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْطُبُ النَّاسَ يَوْمَ الجُمُعَةِ، فَقَالَ: أَصَلَّيْتَ يَا فُلاَنُ؟ قَالَ: لاَ، قَالَ: قُمْ فَارْكَعْ رَكْعَتَيْنِ

Maksudnya: “Seorang lelaki datang ketika Nabi SAW sedang berkhutbah kepada orang ramai pada hari Jumaat. Lalu Baginda bertanya: ‘Adakah engkau sudah solat, wahai Fulan?’ Dia menjawab: ‘Belum.’ Baginda bersabda: ‘Berdirilah dan solatlah dua rakaat.’”

Riwayat al-Bukhari (930)

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa dibenarkan atau dibolehkan untuk bercakap bagi khatib atau makmum ketika khutbah sedang disampaikan hanyalah atas tujuan yang penting atau ketika adanya keperluan seperti amar makruf dan memberi petunjuk ke arah kebenaran. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 6/164).

Selain itu, dalam kitab yang lain, Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa percakapan Nabi SAW ketika khutbah adalah disebabkan adanya keperluan. Misalnya, seseorang menegur orang buta yang hampir terjatuh ke dalam telaga atau memberitahu kepada orang yang tidak perasan adanya kala jengking dan haiwan seumpamanya sedang melata ke arahnya atau mengajar manusia tentang perkara yang baik dan melarang daripada kemungkaran. Maka, hal-hal ini tidak dianggap sebagai haram tanpa sebarang khilaf sebagaimana dinaskan oleh Imam al-Syafi‘i mengenainya dan disepakati oleh para ashab. Akan tetapi mereka menyatakan bahawa disunatkan untuk hal itu dengan berpada melalui isyarat sahaja (atau meringkasnya) jika sudah memadai dan tujuannya dapat dicapai dengan cara itu. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/523)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa dibolehkan atau diizinkan kepada makmum untuk bercakap dengan khatib ataupun sebaliknya apabila adanya keperluan. Sekiranya tidak, maka sebaik-baiknya makmum tidak berkata-kata mahupun bercakap-cakap ketika khutbah sedang disampaikan kerana dikhuatiri termasuk dalam perkara lagha yang mengurangkan atau mensia-siakan pahala dan fadhilat Jumaat.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Surah Ibrahim (40)

Bertarikh: 18 Oktober 2023 bersamaan 3 Rabiulakhir 1445

𝗔𝗱𝗮𝗯 𝗞𝗲𝘁𝗶𝗸𝗮 𝗠𝗲𝗻𝗱𝗲𝗻𝗴𝗮𝗿 𝗞𝗵𝘂𝘁𝗯𝗮𝗵 𝗝𝘂𝗺𝗮𝗮𝘁

 

𝗔𝗱𝗮𝗯 𝗞𝗲𝘁𝗶𝗸𝗮 𝗠𝗲𝗻𝗱𝗲𝗻𝗴𝗮𝗿 𝗞𝗵𝘂𝘁𝗯𝗮𝗵 𝗝𝘂𝗺𝗮𝗮𝘁
Rasulullah SAW bersabda: "Apabila kamu berkata kepada sahabat kamu: 'Diamlah' ketika Imam sedang berkhutbah pada hari Jumaat, maka sesungguhnya kamu telah sia-sia." (HR al-Bukhari No.934)
 
Antara adab tersebut ialah:
 
1. Diam dan Dengar: Khutbah Jumaat adalah waktu yang penuh keberkatan. Jangan berbicara atau melakukan perkara lain semasa khutbah disampaikan. Fokus dan dengar dengan penuh perhatian.
 
2. Khusyuk: Rasai kehadiran Allah dan hayati setiap nasihat serta peringatan yang disampaikan oleh khatib. Duduk dengan tenang dan berikan sepenuh hati kepada khutbah.
 
3. Sopan dan Tenang: Duduk dengan tertib dan sopan. Elakkan daripada melakukan perkara yang boleh mengganggu ketenteraman jemaah lain.
 
4. Tidak Sia-Sia: Hindari melakukan perkara yang tidak berfaedah seperti bermain game atau skrol media sosial dengan telefon.
 
🌞 Tips Tambahan:
 
1. Datang Awal: Datanglah lebih awal ke masjid untuk mendapatkan tempat yang selesa dan bersedia mendengar khutbah.
 
2. Pakai Pakaian Terbaik: Kenakan pakaian yang bersih dan wangi, kerana kebersihan adalah sebahagian daripada iman.
 
3. Bawa Wangian: Sedikit wangi-wangian akan menambah keselesaan dan ketenangan semasa solat.
 
Semoga kita semua mendapat manfaat dari khutbah yang disampaikan dan terus menjadi insan yang lebih baik. 🤲
✨
SALAM INSPIRASI UTAMA ANDA
20 DISEMBER 2024
 

Lagha Pada Hari Jumaat

 Lagha Pada Hari Jumaat

 

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-162: HUKUM BERKATA-KATA KETIKA KHUTBAH

Soalan: Apakah hukum berkata-kata ketika imam sedang khutbah?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berkaitan soalan di atas, terdapat hadith Nabi SAW yang sahih menceritakan larangan seseorang itu berkata-kata ketika khatib atau imam sedang berkhutbah. Antaranya yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari RA di dalam Sahihnya:

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الجُمُعَةِ: أَنْصِتْ، وَالإِمَامُ يَخْطُبُ، فَقَدْ لَغَوْتَ

Maksudnya: “Jika kamu berkata kepada sahabatmu pada hari Jumaat: Diam dan ketika itu imam sedang berkhutbah, maka sesungguhnya kamu telah lagha (melakukan perkara yang sia-sia)”. [Riwayat al-Bukhari (934)]

 

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

وَمَنْ مَسَّ الْحَصَى فَقَدْ لَغَا

Maksudnya: “Barangsiapa yang memegang (bermain) batu maka sesungguhnya dia telah lagha”. [Riwayat Muslim (857)]

 

Makna lagha adalah perbuatan atau percakapan yang sia-sia atau tidak ada faedah.

Imam Ibn Rejab al-Hanbali mengatakan bahawa di dalam hadith ini, Nabi SAW telah memberitahu kepada kita bahawa memerintahkan kepada seseorang agar diam ketika khutbah adalah perkara yang lagha (sia-sia) walaupun hal itu termasuk di dalam menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran. Untuk itu, hadith ini menunjukkan bahawa setiap perkataan yang menyibukkan seseorang itu daripada mendengar atau diam ketika khutbah termasuk dalam hukum yang sia-sia. Adapun diminta orang yang bercakap ketika khutbah untuk diam adalah dengan mengisyratkan sahaja. Para ulama’ tidak berkhilaf dalam hukum dibolehkan memberi isyarat kerana di dalam solat dibolehkan maka ketika khutbah juga dibolehkan dan ia adalah lebih utama untuk dibolehkan (kerana solat merupakan perkara yang lebih besar berbanding khutbah).

 

Para ulama’ telah berijma’ bahawa afdhal (sebaik-baiknya) bagi sesiapa yang mendengar khutbah imam untuk diam dan dengar. Perbuatan itu lebih afdhal daripada dia menyibukkan diri dengan berzikir secara sendiri, membaca al-Quran atau berdoa. [Lihat: Fath al-Bari, 274/8]

 

Persoalan: Adakah solat sunat lebih utama atau mendengar khutbah?

 

Dalam masalah ini, kami melihat sebaik-baiknya seseorang itu melaksanakan solat sunat dua rakaat dengan ringkas sebelum duduk untuk mendengar khutbah. Ini didasarkan kepada beberapa buah hadith, antaranya:

 

  • Daripada Abi Qatadah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمُ المَسْجِدَ، فَلاَ يَجْلِسْ حَتَّى يُصَلِّيَ رَكْعَتَيْنِ

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu masuk ke masjid, janganlah dia duduk sehingga dia solat sebanyak dua rakaat”. [Riwayat al-Bukhari (1097)]

 

  • Daripada Jabir RA, berkata:

 

Telah datang Sulaik al-Ghathfaniy pada hari Jumaat dan Rasulullah SAW sedang berkhutbah lalu dia terus duduk. Maka Nabi SAW bersabda:

 

يَا سُلَيْكُ قُمْ فَارْكَعْ رَكْعَتَيْنِ، وَتَجَوَّزْ فِيهِمَا

ثُمَّ قَالَ: إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، وَالْإِمَامُ يَخْطُبُ، فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ، وَلْيَتَجَوَّزْ فِيهِمَا

Maksudnya: “Wahai Sulaik, bangun dan solatlah dua rakaat dengan ringkas pada dua rakaat tersebut”. Kemudian Rasulullah SAW bersabda lagi: “Apabila datang salah seorang daripada kamu pada hari Jumaat dalam keadaan imam sedang berkhutbah, solatlah dua rakaat serta ringkaskanlah kedua rakaat tersebut”. [Riwayat Muslim (875)]

 

Berdasarkan kedua hadith sahih ini yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, maka kami berpandangan bahawa solat sunat adalah lebih utama berbanding terus duduk untuk mendengar khutbah jika waktu untuk ditunaikan itu masih berbaki. Akan tetapi, solat tersebut perlulah dilakukan dengan ringkas atau ringan iaitu membaca apa yang diwajibkan sahaja dalam solat.

 

Penutup

Kesimpulannya, bercakap atau melakukan perkara-perkara yang sia-sia adalah termasuk dalam perkara yang lagha. Di samping itu, barangsiapa yang melakukan hal sedemikian solat Jumaatnya sah tetapi pahala Jumaatnya berkurang atau dia tidak mendapat kelebihan yang diingini dan pahala yang diharapkan. Ini disebut di dalam kitab al-Muktamad Fi Fiqh al-Syafie berdalilkan dengan hadith di dalam Sunan Abi Daud, daripada Ali RA, bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda:

 

ومَنْ لَغَا فَلَيْسَ لَهُ فِيْ جُمُعَتِهِ تِلْكَ شَئ

Maksudnya: “Dan barangsiapa yang lagha maka dia tidak mendapat bahagiannya daripada Jumaatnya itu”. [Riwayat Abu Daud (1051)][Menurut Syeikh al-Arna’outh sanad hadith ini dhaif tetapi hadith ini mempunyai syawahid]

 

Akhirnya, semoga Allah SWT menggolongkan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang hatinya sentiasa dekat dengan masjid serta memberi kita kesihatan yang baik agar kita sentiasa dapat menghadirkan diri ke masjid samada pada hari Jumaat atau hari-hari yang lainnya. Amin.

 

Wallahua’lam

 

3 Jenis Percakapan Yang Dibenarkan Semasa Khutbah Jumaat

  3 Jenis Percakapan Yang Dibenarkan Semasa Khutbah Jumaat Hari Jumaat tiba lagi. Kita masih berada dalam suasana Covid-19 di mana masjid-ma...