Blog ini memaparkan perjalanan kelas pembelajaran di Masjid Kariah Telok Kemang. Blog ini bukan kenyataan rasmi daripada AJK MKTK. Ia dibuat oleh mereka yang berminat untuk memaparkan jadual kuliah di masjid ini. TQ
BAGAIMANA MEMBENTUK SAF SOLAT JENAZAH JIKA JEMAAH SEDIKIT
Admin PMWP
Jumlah paparan: 23003
Soalan
Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Bagaimana membentuk saf-saf dalam solat jenazah jika jumlah jemaah sedikit?
Jawapan
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai
kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan
salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak
langkahnya hingga hari kesudahan.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Umamah R.A, beliau berkata:
Maksudnya: “Rasulullah SAW mensolatkan satu
jenazah bersama tujuh orang. Lalu Baginda menyusun tiga orang di saf
(pertama), dua orang di satu saf (kedua) dan dua orang di satu saf
(ketiga).
Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (7785)
Manakala dalam hadis yang diriwayatkan daripada Malik bin Hubairah, Nabi SAW bersabda:
ما مِن مسلمٍ يموتُ فَيُصَلِّي عليه ثلاثةُ صفوفٍ من المسلمينَ إلا أَوْجَبَ
Maksudnya: “Tidak ada seorang Muslim yang
meninggal dunia, kemudian disolatkan ke atasnya tiga saf dari
orang-orang Islam, kecuali pasti akan dikabulkan (doanya).
Riwayat Abu Daud (3166), al-Tirmizi (1028), Ibn Majah (1490) dan Ahmad (16724)
Imam Nawawi berkata: Dan disunatkan untuk menyusun saf
sekurang-kurangnya tiga baris dan lebih berdasarkan hadis Malik bin
Hubairah. Dan lebihan daripada tiga saf, maka ia lebih afdhal. (Lihat al-Majmu' Syarh al-Muhazzab, 5/215)
Ibn Qudamah menyebut: Digalakkan menyamakan saf ketika mengerjakan
solat Jenazah. Hal ini dinaskan oleh Imam Ahmad, dan katanya: Samakan
saf-saf kamu, sesungguhnya ia adalah solat. Dan kerana Nabi SAW tatkala
dikhabarkan pada hari kematian Najasyi, Baginda keluar ke tempat solat.
Lalu Baginda membentuk saf dan bertakbir sebanyak empat kali. (Lihat al-Mughni, 2/185)
Kesimpulan
Hendaklah membentuk saf dalam keadaan sama dan untuk solat Jenazah
sekurang-kurangnya tiga saf atau lebih berdasarkan nas hadis dan
istinbat ulama’. Adapun kedudukan antara saf pertama dan kedua boleh
dirapatkan dan tidak perlu dijarakkan untuk rukuk dan sujud kerana pada
solat Jenazah tiada rukuk dan sujud.
Semoga pencerahan ini memberi kefahaman kepada kita. Marilah kita berdoa untuk mereka yang sudah meninggal dunia sebelum kita.
Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami
dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan
janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam
terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau
Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu."
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW pernah ditanya berkaitan sebab kebanyakan orang dimasukkan ke dalam Syurga. Baginda SAW menjawab: Maksudnya: ⭕“Taqwa kepada Allah dan baik akhlaknya.”
Lalu Baginda SAW ditanya lagi berkaitan sebab kebanyakan manusia dimasukkan ke dalam neraka? Baginda SAW menjawab: 📌“MULUT dan KEMALUAN.” [Riwayat al-Tirmizi (2004)][Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan gharib][Imam Ibn Hibban mensahihkan hadith ini di dalam sahihnya]
Syeikh al-Mubarakfuri menyatakan makna mulut di dalam hadith ini ialah menjaga lidahnya kerana menjaga lidah boleh menyelamatkan keseluruhan urusan agamanya dan memakan yang halal kerana itu adalah penghulu kepada ciri ketaqwaan. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 6/120]
5.30 - 6.00ptg Pendaftaran & Minum petang Di Pasific Regency Hotel
6.20 ptg PERARAKAN MAULIDUL RASUL
6.35 ptg Bacaan Maulid & Qasidah #Husna Dakwah Center
7.19 ptg Solat Maghrib Kuliah Perdana USTAZ AUNI MOHAMED
9.30 mlm Solat Isyak Jamuan Makan Bersurai
➖➖➖🔘➖➖➖
5 NAMA RASULULLAH SAW
Rasulullah SAW bersabda : Maksudnya : “ Aku mempunyai lima nama iaitu ✅aku adalah Muhammad ✅dan Ahmad, ✅Aku juga adalah al-Mahi (penghapus) yang mana Allah SWT menghapuskan kekafiran melalui perantaraanku, ✅dan aku juga adalah al-Hasyir (penghimpun) yang mana manusia akan dihimpunkan di bawah kakiku ✅dan aku juga adalah al-‘Aqib (iaitu tiada lagi selepasnya nabi).” Riwayat al-Bukhari (3532)
IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-491 : KENAPA RASULULLAH SAW DINAMAKAN MUHAMMAD?
Tengku Ibrahim Helmi
Jumlah paparan: 52574
Soalan :
Assalamualaikum w.b.t
Saya ada satu persoalan. Kenapa Rasulullah SAW dinamakan sebagai Muhammad? Harap dapat pencerahan mengenai perkara ini.
Jawapan :
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah
SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri
dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang
mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan sabda Rasulullah SAW :
لِي
خَمْسَةُ أسْماءٍ: أنا مُحَمَّدٌ، وأَحْمَدُ وأنا الماحِي الذي يَمْحُو
اللَّهُ بي الكُفْرَ، وأنا الحاشِرُ الذي يُحْشَرُ النّاسُ على قَدَمِي،
وأنا العاقِبُ
Maksudnya :“Aku
mempunyai lima nama iaitu aku adalah Muhammad dan Ahmad, Aku juga adalah
al-Mahi (penghapus) yang mana Allah SWT menghapuskan kekafiran melalui
perantaraanku, dan aku juga adalah al-Hasyir (penghimpun) yang mana
manusia akan dihimpunkan di bawah kakiku dan aku juga adalah al-‘Aqib
(iaitu tiada lagi selepasnya nabi).” Riwayat al-Bukhari (3532)
Sesungguhnya Allah SWT telah menyebutkan
di dalam al-Quran dua nama daripada nama-nama Nabi SAW iaitu Ahmad dan
Muhammad. Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan seolah-olah ia
merupakan isyarat bahawa kedua-dua nama ini adalah yang paling masyhur
antara nama-namanya yang lain dan nama Muhammad adalah yang paling
masyhur antara kedua-dua nama ini. (Lihat Fath al-Bari, 6/555) Imam al-Suyuti turut menyatakan bahawa Muhammad adalah merupakan nama baginda yang paling masyhur. (Lihat al-Nahjah al-Sawiyyah fi al-Asma’ al-Nabawiyyah, hlm. 41)
Kemudian, Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan daripada al-Qadi ‘Iyadh bahawa :
Maksudnya :“Rasulullah
SAW adalah Ahmad (manusia paling terpuji) sebelum menjadi Muhammad
(yang dipuji)… kerana penamaannya sebagai Ahmad terdapat di dalam
kitab-kitab terdahulu (kitab samawi yang lain). Manakala penamaannya
sebagai Muhammad terdapat di dalam al-Quran. Dan perkara itu kerana Nabi
SAW telah memuji Tuhannya sebelum manusia memuji dirinya. Begitu juga
di akhirat kelak, Baginda SAW (terlebih dahulu) akan memuji Tuhannya,
maka Allah SWT akan memberi syafaat kepadanya. Oleh itu, manusia
memujinya.” (Lihat Fath al-Bari, 6/555)
Imam al-Suyuti juga telah memetik
kata-kata al-Qadi ‘Iyadh bahawa kedua nama ini iaitu Muhammad dan Ahmad
termasuk salah satu tanda kebesaran Allah SWT dan keistimewaan bagi
baginda. Allah SWT telah menjaga kedua nama tersebut daripada digunakan
oleh seorang pun sebelum zamannya (kelahiran baginda). Sebelum baginda
lahir, tidak ada seorang pun bangsa Arab mahupun bangsa lain yang
menggunakan nama tersebut melainkan setelah tersebar khabar berita
bahawa nabi yang akan diutuskan ini namanya Muhammad. Oleh itu,
sebahagian kecil bangsa Arab telah menamakan anak-anak mereka dengan
nama tersebut dengan harapan merekalah orang yang dimaksudkan. Dan Allah
SWT Maha Mengetahui kepada siapa yang akan diberikan risalah-Nya. (al-Nahjah al-Sawiyyah fi al-Asma’ al-Nabawiyyah, hlm. 44)
Kenapa Nabi SAW dinamakan Muhammad?
Berbalik kepada soalan yang ditanyakan,
Imam Ibn ‘Asakir telah menyebutkan di dalam kitabnya daripada riwayat
Ibn ‘Abbas R.A bahawa :
لما
ولد النبي صلى الله عليه وسلم عق عنه عبد المطلب بكبش وسماه محمدا فقيل له
يا أبا الحارث ما حملك على أن تسميه محمدا ولم تسمه باسم آبائه قال أردت
أن يحمده الله عز وجل في السماء ويحمده الناس في الأرض
Maksudnya :Apabila
Nabi SAW dilahirkan, Abd al-Muttalib telah melakukan akikah ke atas
baginda dengan menyembelih kibasy dan menamakannya Muhammad. Ditanyakan
kepadanya : “Wahai Abu al-Harith apakah yang menyebabkan engkau
memberinya nama Muhammad dan bukan dengan nama nenek moyangnya?”
Jawabnya : “Aku ingin agar Allah SWT memujinya di langit dan juga
manusia memujinya di bumi.” (Lihat Tarikh Dimashq, 3/32)
Begitu juga, Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan daripada Imam al-Baihaqi bahawa :
Maksudnya :Apabila
Nabi SAW dilahirkan (ke dunia), Abd al-Muttalib telah mengadakan jamuan
untuknya. Ketika sedang makan, para hadirin telah bertanya kepadanya :
“Apakah yang telah engkau namakannya?” Jawabnya : “Muhammad.” Mereka
bertanya lagi : “Apakah yang menghalang engkau daripada menamakannya
dengan nama-nama ahli keluarganya?” Jawabnya : “Aku ingin (berhasrat)
agar Allah SWT memujinya di langit dan juga menusia memujinya di bumi.” (Lihat Fath al-Bari, 7/163)
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami
menyimpulkan bahawa Rasulullah SAW dinamakan Muhammad oleh datuknya
sendiri kerana mengharapkan baginda SAW akan dipuji oleh Allah SWT di
langit dan juga dipuji oleh manusia yang lain di bumi.
Perkara ini bertepatan dengan makna Muhammad itu sendiri yang bermaksud orang yang dipuji dan padanya juga terdapat makna al-Mubalaghah
iaitu paling banyak dipuji. Selain itu, sebagaimana yang diketahui
bahawa para nabi adalah merupakan orang yang paling banyak memuji Allah
SWT dan baginda SAW adalah orang yang paling banyak pujiannya antara
para nabi tersebut (أَكْثَرُهُمْ حَمْدًا) atau yang paling besar sifat
terpujinya (أَعْظَمُهُمْ فِي صِفَةِ الْحَمْدِ). (Lihat Fath al-Bari,
6/555) Demikianlah juga, Syeikh Ibn al-Uthaimin ketika mengulas
mengenai firman Allah SWT di dalam surah al-Saff ayat 6 menyebutkan Nabi
Muhammad SAW adalah adalah manusia yang paling terpuji dan manusia yang
paling berhak untuk dipuji. (Lihat Syarh al-Manzumah al-Baiquniyyah, hlm. 24)
Semoga Allah SWT memberi kita kekuatan
dalam mengikuti Rasulullah SAW serta menjadikannya sebagai contoh
tauladan dalam setiap perkara. Ameen.
firman Allah SWT: Maksudnya: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik. (Surah al-Ahzab: 21)
Syeikh Abu al-Hasan Ali al-Nadwi Rahimahullah pernah berkata: ▫️Jika anda seorang pemuda, maka teladan yang paling elok dan paling cantik bagimu adalah Nabi Muhammad SAW. ▫️Jika anda telah mencapai umur tua, maka Baginda SAW adalah contoh anda. ▫️Jika anda faqir dan miskin, maka Bagindalah teladan dan contoh bagi anda. ▫️Jika anda kaya, maka Bagindalah imam anda. ▫️Jika anda berangkat untuk berperang, maka Baginda SAW juga turut serta berperang. ▫️Jika kamu menginginkan perdamaian, maka Baginda SAW akan memberikan kedamaian sebelum kamu memintanya. ▫️Jika anda redha, maka Baginda SAW pun redha. ▫️Jika anda marah (tidak menerima sesuatu), maka Baginda pun demikian halnya. (Lihat Ma’rifah Rasulullah SAW, hlm. 49-53) https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2859-al-kafi-949-qasidah-memuji-rasulullah-saw