Friday, August 28, 2026

BAGAIMANA MEMBENTUK SAF SOLAT JENAZAH JIKA JEMAAH SEDIKIT

 

BAGAIMANA MEMBENTUK SAF SOLAT JENAZAH JIKA JEMAAH SEDIKIT

SAF_SLT_JENAZAH.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Bagaimana membentuk saf-saf dalam solat jenazah jika jumlah jemaah sedikit?

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Umamah R.A, beliau berkata:

صلَّى رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ علَى جنازَةٍ ومعَهُ سبعَةُ نَفَرٍ فجَعَلَ ثَلَاثَةً صفًّا واثنينِ صفًّا واثنينِ صَفًّا

Maksudnya: “Rasulullah SAW mensolatkan satu jenazah bersama tujuh orang. Lalu Baginda menyusun tiga orang di saf (pertama), dua orang di satu saf (kedua) dan dua orang di satu saf (ketiga).

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (7785)

Manakala dalam hadis yang diriwayatkan daripada Malik bin Hubairah, Nabi SAW bersabda:

ما مِن مسلمٍ يموتُ فَيُصَلِّي عليه ثلاثةُ صفوفٍ من المسلمينَ إلا أَوْجَبَ

Maksudnya: “Tidak ada seorang Muslim yang meninggal dunia, kemudian disolatkan ke atasnya tiga saf dari orang-orang Islam, kecuali pasti akan dikabulkan (doanya).

Riwayat Abu Daud (3166), al-Tirmizi (1028), Ibn Majah (1490) dan Ahmad (16724)

Imam Nawawi berkata: Dan disunatkan untuk menyusun saf sekurang-kurangnya tiga baris dan lebih berdasarkan hadis Malik bin Hubairah. Dan lebihan daripada tiga saf, maka ia lebih afdhal. (Lihat al-Majmu' Syarh al-Muhazzab, 5/215)

Ibn Qudamah menyebut: Digalakkan menyamakan saf ketika mengerjakan solat Jenazah. Hal ini dinaskan oleh Imam Ahmad, dan katanya: Samakan saf-saf kamu, sesungguhnya ia adalah solat. Dan kerana Nabi SAW tatkala dikhabarkan pada hari kematian Najasyi, Baginda keluar ke tempat solat. Lalu Baginda membentuk saf dan bertakbir sebanyak empat kali. (Lihat al-Mughni, 2/185)

 

Kesimpulan

Hendaklah membentuk saf dalam keadaan sama dan untuk solat Jenazah sekurang-kurangnya tiga saf atau lebih berdasarkan nas hadis dan istinbat ulama’. Adapun kedudukan antara saf pertama dan kedua boleh dirapatkan dan tidak perlu dijarakkan untuk rukuk dan sujud kerana pada solat Jenazah tiada rukuk dan sujud.

Semoga pencerahan ini memberi kefahaman kepada kita. Marilah kita berdoa untuk mereka yang sudah meninggal dunia sebelum kita.

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu."

Surah al-Hasyr (10)

Saturday, August 22, 2026

MULUT PUNCA KE NERAKA

 MULUT PUNCA KE NERAKA

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW pernah ditanya berkaitan sebab kebanyakan orang dimasukkan ke dalam Syurga. Baginda SAW menjawab:
Maksudnya: ⭕“Taqwa kepada Allah dan baik akhlaknya.” 

Lalu Baginda SAW ditanya lagi berkaitan sebab kebanyakan manusia dimasukkan ke dalam neraka? Baginda SAW menjawab: 📌“MULUT dan KEMALUAN.” 
[Riwayat al-Tirmizi (2004)][Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan gharib][Imam Ibn Hibban mensahihkan hadith ini di dalam sahihnya]

Syeikh al-Mubarakfuri menyatakan makna mulut di dalam hadith ini ialah menjaga lidahnya kerana menjaga lidah boleh menyelamatkan keseluruhan urusan agamanya dan memakan yang halal kerana itu adalah penghulu kepada ciri ketaqwaan. 
[Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 6/120]

Rujukan
https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/3435-irsyad-al-hadith-siri-ke-374-mulut-punca-ke-neraka 


Tuesday, August 18, 2026

Assalamualaikum............

 


Jom Semarakkan Sambutan Maulidul Rasul SAW 2026

 Jom Semarakkan Sambutan Maulidul Rasul SAW

30 Ogos 2026
17 Rabiulawal 1448H

5.30 - 6.00ptg
Pendaftaran & Minum petang Di Pasific Regency Hotel 

6.20 ptg
PERARAKAN MAULIDUL RASUL

6.35 ptg
Bacaan Maulid & Qasidah 
#Husna Dakwah Center

7.19 ptg
Solat Maghrib
Kuliah Perdana USTAZ AUNI MOHAMED

9.30 mlm
Solat Isyak 
Jamuan Makan
Bersurai

➖➖➖🔘➖➖➖

5 NAMA RASULULLAH SAW

 Rasulullah SAW bersabda :
Maksudnya : “
Aku mempunyai lima nama iaitu 
✅aku adalah Muhammad 
✅dan Ahmad, 
✅Aku juga adalah al-Mahi (penghapus) yang mana Allah SWT menghapuskan kekafiran melalui perantaraanku, 
✅dan aku juga adalah al-Hasyir (penghimpun) yang mana manusia akan dihimpunkan di bawah kakiku 
✅dan aku juga adalah al-‘Aqib (iaitu tiada lagi selepasnya nabi).” 
Riwayat al-Bukhari (3532)

Rujukan 
https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/4413-irsyad-al-hadith-siri-ke-491-kenapa-rasulullah-saw-dinamakan-muhammad

KENAPA RASULULLAH SAW DINAMAKAN MUHAMMAD?

 

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-491 : KENAPA RASULULLAH SAW DINAMAKAN MUHAMMAD?

IF HADITH 491

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada satu persoalan. Kenapa Rasulullah SAW dinamakan sebagai Muhammad? Harap dapat pencerahan mengenai perkara ini.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sabda Rasulullah SAW :

لِي خَمْسَةُ أسْماءٍ: أنا مُحَمَّدٌ، وأَحْمَدُ وأنا الماحِي الذي يَمْحُو اللَّهُ بي الكُفْرَ، وأنا الحاشِرُ الذي يُحْشَرُ النّاسُ على قَدَمِي، وأنا العاقِبُ

Maksudnya : “Aku mempunyai lima nama iaitu aku adalah Muhammad dan Ahmad, Aku juga adalah al-Mahi (penghapus) yang mana Allah SWT menghapuskan kekafiran melalui perantaraanku, dan aku juga adalah al-Hasyir (penghimpun) yang mana manusia akan dihimpunkan di bawah kakiku dan aku juga adalah al-‘Aqib (iaitu tiada lagi selepasnya nabi).” Riwayat al-Bukhari (3532)

Sesungguhnya Allah SWT telah menyebutkan di dalam al-Quran dua nama daripada nama-nama Nabi SAW iaitu Ahmad dan Muhammad. Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan seolah-olah ia merupakan isyarat bahawa kedua-dua nama ini adalah yang paling masyhur antara nama-namanya yang lain dan nama Muhammad adalah yang paling masyhur antara kedua-dua nama ini. (Lihat Fath al-Bari, 6/555) Imam al-Suyuti turut menyatakan bahawa Muhammad adalah merupakan nama baginda yang paling masyhur. (Lihat al-Nahjah al-Sawiyyah fi al-Asma’ al-Nabawiyyah, hlm. 41)

Kemudian, Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan daripada al-Qadi ‘Iyadh bahawa :

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحْمَدَ قَبْلَ أَنْ يَكُونَ مُحَمَّدًا... لِأَنَّ تَسْمِيَتَهُ أَحْمَدَ وَقَعَتْ فِي الْكُتُبِ السَّالِفَةِ وَتَسْمِيَتُهُ مُحَمَّدًا وَقَعَتْ فِي الْقُرْآنِ الْعَظِيمِ وَذَلِكَ أَنَّهُ حَمِدَ رَبَّهُ قَبْلَ أَنْ يَحْمَدَهُ النَّاسُ وَكَذَلِكَ فِي الْآخِرَةِ يَحْمَدُ رَبَّهُ فَيُشَفِّعَهُ فَيَحْمَدُهُ النَّاسُ

Maksudnya : “Rasulullah SAW adalah Ahmad (manusia paling terpuji) sebelum menjadi Muhammad (yang dipuji)… kerana penamaannya sebagai Ahmad terdapat di dalam kitab-kitab terdahulu (kitab samawi yang lain). Manakala penamaannya sebagai Muhammad terdapat di dalam al-Quran. Dan perkara itu kerana Nabi SAW telah memuji Tuhannya sebelum manusia memuji dirinya. Begitu juga di akhirat kelak, Baginda SAW (terlebih dahulu) akan memuji Tuhannya, maka Allah SWT akan memberi syafaat kepadanya. Oleh itu, manusia memujinya.” (Lihat Fath al-Bari, 6/555)

Imam al-Suyuti juga telah memetik kata-kata al-Qadi ‘Iyadh bahawa kedua nama ini iaitu Muhammad dan Ahmad termasuk salah satu tanda kebesaran Allah SWT dan keistimewaan bagi baginda. Allah SWT telah menjaga kedua nama tersebut daripada digunakan oleh seorang pun sebelum zamannya (kelahiran baginda). Sebelum baginda lahir, tidak ada seorang pun bangsa Arab mahupun bangsa lain yang menggunakan nama tersebut melainkan setelah tersebar khabar berita bahawa nabi yang akan diutuskan ini namanya Muhammad. Oleh itu, sebahagian kecil bangsa Arab telah menamakan anak-anak mereka dengan nama tersebut dengan harapan merekalah orang yang dimaksudkan. Dan Allah SWT Maha Mengetahui kepada siapa yang akan diberikan risalah-Nya. (al-Nahjah al-Sawiyyah fi al-Asma’ al-Nabawiyyah, hlm. 44)

Kenapa Nabi SAW dinamakan Muhammad?

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, Imam Ibn ‘Asakir telah menyebutkan di dalam kitabnya daripada riwayat Ibn ‘Abbas R.A bahawa :

لما ولد النبي صلى الله عليه وسلم عق عنه عبد المطلب بكبش وسماه محمدا فقيل له يا أبا الحارث ما حملك على أن تسميه محمدا ولم تسمه باسم آبائه قال أردت أن يحمده الله عز وجل في السماء ويحمده الناس في الأرض

Maksudnya : Apabila Nabi SAW dilahirkan, Abd al-Muttalib telah melakukan akikah ke atas baginda dengan menyembelih kibasy dan menamakannya Muhammad. Ditanyakan kepadanya : “Wahai Abu al-Harith apakah yang menyebabkan engkau memberinya nama Muhammad dan bukan dengan nama nenek moyangnya?” Jawabnya : “Aku ingin agar Allah SWT memujinya di langit dan juga manusia memujinya di bumi.” (Lihat Tarikh Dimashq, 3/32)

Begitu juga, Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan daripada Imam al-Baihaqi bahawa :

أَنَّ عَبْدَ الْمُطَّلِبِ لَمَّا وُلِدَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَمِلَ لَهُ مَأْدُبَةً فَلَمَّا أَكَلُوا سَأَلُوا ماسميته قَالَ مُحَمَّدًا قَالُوا فَمَا رَغِبْتَ بِهِ عَنْ أَسْمَاءِ أَهْلِ بَيْتِهِ قَالَ أَرَدْتُ أَنْ يَحْمَدَهُ اللَّهُ فِي السَّمَاءِ وَخَلْقُهُ فِي الْأَرْضِ

Maksudnya : Apabila Nabi SAW dilahirkan (ke dunia), Abd al-Muttalib telah mengadakan jamuan untuknya. Ketika sedang makan, para hadirin telah bertanya kepadanya : “Apakah yang telah engkau namakannya?” Jawabnya : “Muhammad.” Mereka bertanya lagi : “Apakah yang menghalang engkau daripada menamakannya dengan nama-nama ahli keluarganya?” Jawabnya : “Aku ingin (berhasrat) agar Allah SWT memujinya di langit dan juga menusia memujinya di bumi.” (Lihat Fath al-Bari, 7/163)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa Rasulullah SAW dinamakan Muhammad oleh datuknya sendiri kerana mengharapkan baginda SAW akan dipuji oleh Allah SWT di langit dan juga dipuji oleh manusia yang lain di bumi.

Perkara ini bertepatan dengan makna Muhammad itu sendiri yang bermaksud orang yang dipuji dan padanya juga terdapat makna al-Mubalaghah iaitu paling banyak dipuji. Selain itu, sebagaimana yang diketahui bahawa para nabi adalah merupakan orang yang paling banyak memuji Allah SWT dan baginda SAW adalah orang yang paling banyak pujiannya antara para nabi tersebut (أَكْثَرُهُمْ حَمْدًا) atau yang paling besar sifat terpujinya (أَعْظَمُهُمْ فِي صِفَةِ الْحَمْدِ). (Lihat Fath al-Bari, 6/555)  Demikianlah juga, Syeikh Ibn al-Uthaimin ketika mengulas mengenai firman Allah SWT di dalam surah al-Saff ayat 6 menyebutkan Nabi Muhammad SAW adalah adalah manusia yang paling terpuji dan manusia yang paling berhak untuk dipuji. (Lihat Syarh al-Manzumah al-Baiquniyyah, hlm. 24)

Semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dalam mengikuti Rasulullah SAW serta menjadikannya sebagai contoh tauladan dalam setiap perkara. Ameen.

Monday, August 17, 2026

Keturunan Nabi Muhammad SAW

 Keturunan Nabi Muhammad SAW

Sahih al-Bukhari, Kitab Manaqib al-Ansar, Bab Pengutusan Nabi SAW (4/228), disebut:

(Nabi Muhammad SAW bernama):
📌 Muhammad Bin Abdullah 
📌bin ‘Abd al-Muttalib
📌 bin Hasyim 
📌bin ‘Abdu Manaf 
📌bin Qusai Bin Kilab 
📌bin Murrah 
📌bin Ka’ab 
📌bin Lu’ay 
📌bin Ghalib 
📌Bin Fihr 
📌bin Malik 
📌bin Al-Nadhr 
📌bin Kinanah 
📌bin Khuzaimah 
📌Bin Mudrikah 
📌bin Ilyas 
📌bin Mudar 
📌bin Nizar 
📌bin Ma’ad 
📌bin ‘Adnan. 
(Lihat Sahih al-Bukhari, 4/228)

3 Jenis Percakapan Yang Dibenarkan Semasa Khutbah Jumaat

  3 Jenis Percakapan Yang Dibenarkan Semasa Khutbah Jumaat Hari Jumaat tiba lagi. Kita masih berada dalam suasana Covid-19 di mana masjid-ma...